comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah Malaysia perlu jadi contoh dalam soal kebersihan 

Foto: Reuters

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia perlu terus menjadi contoh dan ikutan kepada jemaah haji dari negara lain dalam soal kebersihan di Masyair.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji Malaysia sebelum ini sememangnya dikenali serta diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai yang berdisplin serta berilmu dalam pelbagai aspek termasuk menerusi Program Kebersihan Masyair dan imej itu harus dikekalkan oleh semua jemaah haji musim 1445H/2024.

“Pada 2018 Tabung Haji (TH) telah memperkenalkan program ini sebagai satu inisiatif untuk mengajak jemaah haji Malaysia melaksanakan satu daripada tanggungjawab sebagai umat Islam dan sebagai jemaah haji yang bertanggungjawab.

“Hasil program itu Kerajaan Arab Saudi memuji keadaan di Arafah yang ditinggalkan oleh jemaah Malaysia ini dan menjadi contoh kepada negara lain dalam soal menjaga kebersihan kawasan Masyair,” katanya selepas melancarkan Program Kebersihan Masyair di sini semalam.

Beliau berkata menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada ibadah serta amat dituntut oleh agama Islam selain sebagai cerminan kemabruran haji seseorang jemaah dan bukan bersandarkan kepada rukun semata-mata.

“Ibadah sebenarnya mempunyai makna yang lebih meluas dan bukan hanya tertumpu kepada ibadah khusus seperti solat sahaja. Menjaga hubungan dengan jemaah haji lain juga merupakan satu ibadah dan begitu juga menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata dengan adanya program ini, jemaah haji Malaysia dapat memahami konsep ibadah dengan lebih meluas selain dapat menerapkan konsep ta’awun iaitu bekerjasama bagi memastikan kawasan Masyair bersih dan teratur sama seperti keadaan waktu tiba.

Sementara itu selepas majlis berkenaan, Datuk Mohd Na’im bersama pengurusan tertinggi TH meluangkan masa menyantuni lima waris jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci baru-baru ini.

Beliau sempat memberikan kata-kata semangat kepada semua waris berkenaan dan memberi jaminan bahawa TH akan melaksanakan badal haji untuk kesemua jemaah yang terlibat.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini