Oleh: Azri Mukhlas
MAKKAH: Jemaah haji yang terpilih untuk mengerjakan haji menerusi rayuan, tetap perlu membayar kos penuh sekalipun mereka dalam kalangan B40 dan M40.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keutamaan menunaikan ibadat haji tahun ini diberikan kepada mereka yang tersenarai melaksanakannya pada 2020, 2021 dan 2022 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Jelasnya, sekiranya jemaah yang terpilih tahun ini menolak tawaran dan terdapat kekosongan, giliran akan diberikan kepada mereka yang merayu dan di luar giliran.
“Bayangkan kalau mereka yang merayu ini potong giliran, dapat pula bantuan kewangan, sedangkan ada yang lain berkemampuan dan bersetuju untuk membayar kos penuh tetapi tidak berjaya dalam rayuan.
“Tetapi apabila mereka ini membuat rayuan dan berjaya, polisi rayuan ini ialah mereka yang ada kemampuan atau istito’ah atau kemampuan (membayar jumlah penuh),” katanya ketika sesi ramah mesra bersama jemaah haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, terdapat 60,000 pendeposit TH yang sedang menunggu giliran dan sanggup membayar kos penuh RM30,850 pada tahun ini, tetapi mereka ini tidak berjaya dalam rayuan.
Terdapat juga jemaah haji dari dua golongan berkenaan yang terpilih pada tahun ini sekaligus layak mendapat bantuan kewangan mengerjakan haji tetapi tetap membayar kos penuh kerana berpegang kepada istito’ah iaitu asas kewajipan menunaikan haji.
Bayaran haji untuk jemaah haji Muassasah bagi kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji tahun ini kekal pada kadar RM10,980 seorang, manakala RM15,980 seorang bagi M40.
Sementara itu beliau memaklumkan, seorang lagi jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia, menjadikan angka kematian haji musim ini dua orang.
Jemaah wanita berusia 75 tahun berasal dari Batu Caves, Selangor itu meninggal dunia di Hospital King Faisal di Makkah akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 19 Jun lalu.
Selain itu, 61 jemaah haji masih dirawat, 56 daripadanya di Pusat Rawatan Tabung Haji di Makkah, manakala selebihnya di hospital di Arab Saudi.
Katanya, kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Makkah untuk mengerjakan haji dengan penerbangan sewa khas terakhir mendarat di Jeddah jam 9 malam tadi.