KOTA KINABALU: Seorang wanita cedera ketika mendaki Bukit Janggut, Sepanggar, di sini, pagi tadi.
Wanita berusia 31 tahun itu cedera di bahagian lutut dan buku lali ketika menjalankan aktiviti riadah mendaki bukit berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba kemudian membuat rawatan lanjut kepada mangsa.
“Mangsa dibawa turun menggunakan pengusung oleh pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 10.45 pagi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.