Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JBPM ambil masa 6 jam padam kebakaran di tapak pelupusan sampah

Sebuah tapak pusat pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini, dilaporkan terbakar, tengah malam tadi. – Foto ihsan bomba

JOHOR BAHRU: Kebakaran di sebuah tapak pusat pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini, semalam berjaya dipadam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas kira-kira 6 jam.

Dalam satu kenyataan, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yusri Atan memaklumkan, pihaknya berjaya memadam kebakaran sebelum menamatkan operasi jam 6.25 petang.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 12.46 tengah hari semalam.

“Pusat pelupusan sampah itu berkeluasan 5.26 hektar dengan kebakaran dilaporkan di kawasan kira-kira 2.83 hektar. “Seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran dengan satu jentera FRT serta satu van utiliti bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Seramai 13 orang anggota dari Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) turut membantu membuat pemadaman di lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.

Foto ihsan bomba

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menjalankan pemantauan kualiti udara bagi mengenal pasti sama ada pencemaran udara akibat kebakaran tapak pelupusan sampah itu.

Pengarahnya, Dr Famey Yusoff berkata, pemantauan kualiti udara itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama MBPG.

“Buat masa ini, bomba masih lagi mengawal keadaan bagi memastikan kebakaran tapak pelupusan sampah itu dipadam sepenuhnya.”Pada masa sama, pihak JAS serta MBPG sedang melakukan pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar, khususnya yang membabitkan kawasan kediaman,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, MBPG telah mengeluarkan notis penutupan sementara pengoperasian Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL), dekat sini, susulan kebakaran yang berlaku semalam.

Notis penutupan selama dua minggu bermula semalam itu, dikeluarkan kepada pihak SWCorp dan pengurusan Seelong Sanitary Landfill.

Loading...
Terkini