comscore
Tumpuan :
Nasional

‘JBG perlu santuni, tawar khidmat pendamping kepada 402 kanak-kanak mangsa jenayah seksual’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) menyantuni 402 kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual serta eksploitasi di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal penindasan terhadap kanak-kanak kerana golongan itu adalah generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka adalah tanggungjawab bersama.

“Saya sudah menghubungi Pengarah JBG dan mengarahkan mereka menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam insiden jelik ini dengan menawarkan khidmat ‘pendamping kanak-kanak’ atau ‘legal companion’.

“Saya berasa amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 rumah amal. Saya difahamkan siasatan sedang berjalan berkenaan perkara ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Azalina berkata, kerajaan memberi penekanan serius dan komited terhadap isu membabitkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak.

Beliau berkata, kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang sudah diluluskan pada sidang Parlimen lalu.

“Pindaan itu bertepatan dan kena pada waktunya kerana ia memperuntukkan kecekapan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding, selain menghapuskan keperluan keterangan sokongan mandatori,” katanya.

Pada Rabu lalu, sebanyak 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak serta agama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata polis turut menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur satu hingga 17 tahun yang kini ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini