Tumpuan :
Nasional

JB mula dilanda banjir

 

Pihak Bomba membantu penduduk Kampung Pasir ketika banjir sedalam 0.4 meter di Kampung Pasir, Johor. FOTO NSTP

JOHOR BAHRU: Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan kawasan Kampung Pasir, Tampoi, di sini, dinaiki air bah sedalam 0.4 meter, pagi tadi.

Tinjauan di Kampung Pasir mendapati banjir mula menenggelamkan puluhan rumah yang terletak berhampiran Sungai Skudai.

Beberapa laluan utama dilihat mulai dinaiki air yang semakin dalam berikutan rumah pam di situ, yang fahamkan masih rosak dan belum siap dibaiki.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dilihat turut berada di lokasi bagi membuat pemantauan dan pemindahan penduduk terjejas.

Penduduk kampung, Fatimah Zaharah Kassim, 34, berkata kediaman ibunya di Jalan Sukun, paling terjejas susulan air Sungai Skudai melimpah sehingga hampir ke paras tingkap sejak pagi tadi.

Katanya, beliau bimbang paras air semakin dalam berikutan hujan masih tidak berhenti sejak tengah malam tadi.

“Rumah ibu memang terletak berdekatan kawasan rumah pam Sungai Skudai. Minggu lalu, air sungai dah melimpah menenggelamkan rumah hingga paras tingkap juga.

“Namun, ia surut berikutan hujan yang tidak lebat. Bagaimanapun, hari ini hujan lebat masih tak berhenti. Jika banjir makin dalam, saya bimbang keselamatan ibu kerana kakinya sakit dan sukar bergerak.

“Saya sudah maklumkan adik, jika air bah makin tinggi, pindahkan ibu segera ke kawasan selamat, namun ibu enggan berpindah kerana mahu menjaga rumah,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Penyelaras Penggerak Masyarakat Parlimen Pulai, Azmi Misni berkata, sebanyak 100 rumah penduduk berhampiran Sungai Skudai di Kampung Pasir dinaiki air bah sehingga paras pinggang, pagi ini.

Namun katanya, jumlah kediaman terjejas dijangka bertambah susulan keadaan cuaca buruk dan hujan lebat berterusan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan rumah pam di Kampung Pasir masih rosak menyebabkan jika hujan lebat berterusan keadaan banjir mungkin menjadi buruk.

“Saya sudah maklumkan penduduk terjejas supaya segera berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, namun mereka menyatakan air bah mungkin surut.

“Bagaimanapun, anggota penyelamat sudah hadir ke lokasi banjir di kampung ini bagi memantau keadaan dan membuat pemindahan sekiranya air bah semakin dalam.

“Penduduk perlu patuh pada arahan pihak berkuasa supaya berpindah bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini