comscore
Tumpuan :
Nasional

JAWI gesa masjid, surau di Wilayah Persekutuan laksana solat hajat bagi rakyat Palestin

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA : Masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan digesa melaksanakan solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ia susulan tragedi serangan dan kekasaran tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa malam tadi.

“Jabatan ini menggesa agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat Hajat selepas solat Isyak pada 6 April 2023 (Khamis) serta bacaan Qunut Nazilah dan solat Hajat selepas solat Jumaat pada 7 April 2023..” katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak bertanggungjawab dan kezaliman yang dilakukan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan rakyat Palestin,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Polis Israel menyerang dan menangkap lebih 400 jemaah Palestin dalam serbuan ganas di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Sementara ratusan rakyat Palestin ditangkap awal pagi tadi dan ditahan di balai polis di Atarot di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki selepas polis Israel menyerang para jemaah kononnya untuk menahan pemberontak bertopeng yang mengunci diri di dalam masjid itu dengan bunga api, kayu dan batu.

Loading...
Terkini