Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar hari ini mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat video tular memaparkan sekumpulan lelaki yang didakwa berzikir dalam keadaan mencurigakan, di Tanah Perkuburan Islam di Setapak, ibu negara.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan pihak tertentu yang berhimpun di salah sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membuat siasatan terperinci susulan kejadian tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Pihak yang mempunyai maklumat adalah dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan.
“Semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian tersebut,” jelasnya lagi.
Tegas Naim, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
Orang ramai juga diminta untuk memberi ruang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa agama Islam berhubung kejadian itu.
Terdahulu, tular satu rakaman video sekumpulan individu melakukan aktiviti mencurigakan itu dan mendapat pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata meluahkan kebimbangan sekiranya tindakan itu bertentangan dengan ajaran Islam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.