Oleh Syafiqah Damanhuri
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah menyiasat satu perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAWI akan melakukan siasatan dengan kerjasama pihak polis.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berlaku baru-baru ini”.
“Selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa.”
“Apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan adalah tidak boleh diterima sama sekali.” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau meminta semua pihak akur dan menghormati kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahad lalu, polis mengesan seramai 150 orang terbabit dalam perhimpunan dipercayai ada kaitan dengan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsang yang dikatakan berlaku di hadapan Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, dilaporkan berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai perhimpunan terbabit kira-kira jam 10 pagi.