GERIK: Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mendapati aduan seorang doktor dipukul penolong pegawai perubatan lelaki di Hospital Gerik, Jun lalu adalah berasas.
Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan pada hari sama doktor lelaki itu membuat aduan iaitu 4 Jun lalu dan siasatan dilaksanakan pada 12 Jun.
“Susulan itu, Pengarah Hospital Gerik sudah mengeluarkan Surat Teguran kepada pegawai terbabit pada 31 Julai lalu.
“Surat pemakluman hasil siasatan dalaman dihantar kepada pengadu, Dr Aidid Nawawi Ghazali pada 1 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, Feisul Idzwan berkata, JKN Perak juga sudah berhubung dengan pengadu dan menawarkan perkhidmatan kaunseling.
Tambah beliau lagi, JKN Perak juga menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi insiden itu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius sebarang perlakuan buli atau penggunaan kekerasan dan mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja,” katanya.
Isnin lalu, seorang pengguna Facebook bernama Aidid Nawawi Ghazali mendakwa dipukul sebanyak sembilan kali iaitu tujuh di bahagian belakang badan dan dua lagi di belakang kepala oleh seorang penolong pegawai perubatan.
Doktor itu mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau sedang merawat seorang pesakit wanita yang cedera akibat diserang dengan aurat pesakit itu terdedah.
Menurutnya, penolong pegawai perubatan yang beliau gelar sebagai Mr H itu bukan sebahagian daripada pasukan kecemasan, namun Mr H masuk ke bilik rawatan hospital berkenaan atas alasan kononnya dia mengenali pesakit wanita itu ketika sekolah menengah.
Kata doktor itu, beliau dengan sopan mengiringi Mr H keluar dari bilik rawatan sambil menjelaskan bahawa dia tidak sepatutnya berada di situ kerana tidak mempunyai pertalian darah dengan pesakit.
“Tidak lama kemudian, Mr H masuk ke dalam bilik rawatan sekali lagi, kali ini ketika pegawai polis hadir untuk mengambil keterangan pesakit.
“Saya mengingatkan Mr H bahawa dia tiada urusan untuk berada di situ, terutamanya apabila aurat pesakit terdedah.
“Bagaimanapun, Mr H memukul saya tujuh kali di bahagian belakang dan dua kali di belakang kepala saya.
“Saya dipukul, dihina, dan dibiarkan terkejut sementara rakan sekerja saya dan pegawai polis hanya berdiri di situ. Mr H keluar seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.
Aidid Nawawi mendakwa, dia berasa tidak adil dengan rumusan siasatan ekoran pelaku tidak menerima apa-apa tindakan, tidak memohon maaf dan kekal boleh bekerja seperti biasa, sementara pengadu mengalami trauma akibat insiden itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.