comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam Peringkat Wilayah Persekutuan diaktif semula

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Peringkat Wilayah Persekutuan diaktifkan semula bagi membincangkan isu-isu rumah ibadat selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan (MTPWP) yang dipengerusikannya di sini, hari ini.

“Antara perkara yang dibangkitkan adalah berkenaan Jawatankuasa RISI Peringkat Wilayah Persekutuan yang telah lama tidak bersidang bagi membincangkan isu-isu rumah ibadat selain Islam.

“Mesyuarat telah bersetuju agar Jawatankuasa RISI Peringkat Wilayah Persekutuan ini diaktifkan semula dan akan bersidang dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Kali terakhir jawatankuasa tersebut bersidang pada tahun 2021.

Jelasnya, MTPWP adalah platform untuk menyelaras dan mengenal pasti inisiatif dan strategi yang bersesuaian bagi membincangkan hal ehwal pembangunan di Wilayah Persekutuan serta memastikan keputusan oleh Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negara (JTPN) dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut Dr Zaliha, mesyuarat turut membincangkan perkembangan terkini mengenai Projek Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Wilayah Persekutuan dan pelaporan e-Kasih.

Selain itu, turut dibincangkan inisiatif berkenaan penoktahan kemiskinan tegar serta perkara berbangkit mengenai pembangunan dan kemajuan Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar satu bengkel diadakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan bersama Ahli-Ahli Parlimen di Kuala Lumpur bagi meneliti dan memahami kehendak rakyat di Kuala Lumpur menjelang persediaan bagi pembangunan Rolling Plan 5 (RP5) RMKe-12.

“InsyaAllah, semoga segala perbincangan dan perancangan dalam mesyuarat hari ini akan menatijahkan hasil yang baik, sekali gus memanfaatkan warga kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini