comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa pengurusan bencana diaktifkan di Johor, Pahang – NADMA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah (JPBN/JPBD) di Johor serta Pahang diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada dan buruk di beberapa kawasan di dua negeri itu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kenyataan turut meminta jawatankuasa di kedua-dua peringkat itu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

“JPBN/JPBD juga perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas, manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi.

“Ia juga perlu dipastikan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” katanya.

NADMA berkata, pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected].

Terdahulu MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Mersing dan Kota Tinggi, Johor sehingga Ahad ini. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini