comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan 2024 ditubuhkan – MOF

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sidang media pada Larian Kewangan 2023 Sempena Hari Sukan Negara 2023 di Dataran Wawasan, Putrajaya. Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan 2024 bertujuan menyemak dan mendapatkan maklum balas bagi memastikan pelaksanaannya dapat diadakan dalam tempoh ditetapkan.

Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan 2024 akan diketuai Menteri Kewangan, selain keanggotaannya termasuk Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jawatankuasa itu juga akan memantau belanjawan yang disalurkan itu dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Katanya, pada Rabu lalu Dewan Rakyat juga telah meluluskan belanjawan yang dipanggil Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024.

“Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan 2024 ini seiring dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang diluluskan di Dewan Rakyat bagi melaporkan pencapaian bajet dalam masa setengah tahun (Januari hingga Jun) yang akan dilaporkan di Dewan Rakyat pada awal September 2024,” katanya pada Majlis Larian Kewangan 2023 di perkarangan MOF sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di sini, hari ini.

Seramai 3,200 peserta menyertai larian ini membabitkan agensi di bawah MOF iaitu penyertaan terbanyak setakat ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dengan peruntukan tertinggi berjumlah RM393.8 bilion.

Ahmad berkata, MOF sedia mempertimbang sekiranya terdapat perkara tertentu untuk dipercepatkan kelulusannya supaya dapat dilaksanakan dengan pantas.

Loading...
Terkini