Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam sedang dalam proses memuktamadkan laporan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Moktar berkata, pengerusi jawatankuasa tersebut, Tun Zaki Azmi, bekas Ketua Hakim Negara memberitahu, laporan itu akan diserahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Setakat hari ini, saya dimaklumkan oleh Tun Zaki dalam proses memuktamadkan laporan dan diserahkan ke pengerusi MKI, Sultan Perak yang pengerusikan Jawatankuasa MKI”
Datuk Mohd Na’im berkata demikian menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berhubung isu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.
Sebelum ini, Datuk Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam sentiasa diberikan ruang sepenuhnya untuk mengkaji isu berkaitan kompetensi DUN dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya lagi, semua cadangan jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Zaki akan dikemukakan kepada Mesyuarat MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenan.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.
Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah, usaha mencari jalan mengatasi isu ini adalah dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.
Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.