comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa khas disusun selesai isu beras putih tempatan – Mohamad

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

SHAH ALAM: Sebuah jawatankuasa khas sedang disusun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mencari penyelesaian isu kekurangan beras putih tempatan (BPT).

Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya juga sedang melaksanakan sesi libat urus dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi masalah itu.

“Ini (isu kekurangan beras putih tempatan) sedang kita tangani sekarang. Jawatankuasa khas sedang dibuat dan Ketua Setiausaha KPKM mengambil isu ini sebagai isu besar.

“Kita sedang mencari jalan terbaik dan libat urus juga dibuat dengan beberapa kementerian antaranya KPDN untuk menghadapi masalah (kekurangan) beras… beras ada cuma kita kekurangan beras putih tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden AMANAH ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor 2024 di sini, hari ini.

Mohamad ditanya isu kekurangan BPT di pasaran sehingga menimbulkan pertikaian banyak pihak termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang membangkitkan mengenainya pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata pihaknya ketika ini juga dalam usaha mentransformasikan agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi negara termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan.

“KPKM juga sedang giat mempromosikan penanaman padi ala Sekinchan secara besar-besaran untuk meningkatkan pengeluaran padi pada masa hadapan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan mengenai isu BPT yang didakwa sehingga kini hampir tidak terdapat di pasaran.

Membandingkan dengan beras putih import (BPI) yang lebih banyak di pasaran, Hassan menyarankan kerajaan khususnya KPKM termasuk agensi Kawal Selia Padi dan Beras untuk bercakap benar mengenai situasi BPT dalam pasaran negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini