PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kabinet ditubuh bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negara ini.
Perkara itu dimaklum Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Katanya, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan awal bulan depan dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kerajaan akan memberi perhatian serius kepada isu kesesakan lalu lintas ini, dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet, yang akan disertai pelbagai kementerian untuk melihat kepada langkah yang lebih komprehensif dan menyeluruh.
“Kita mengharap satu pendekatan lebih terancang dapat kita gunakan supaya dapat menangani isu kesesakan ini,” katanya pada sidang media di stesen MRT Putrajaya Sentral di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran operasi Fasa Dua MRT laluan Putrajaya, Anthony berkata, kerajaan komited memperkukuhkan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan yang lebih cekap dan efisien.
Ia juga bagi memastikan persekitaran yang lebih kondusif dalam industri untuk mendorong daya saing ekonomi negara.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberi penekanan terhadap penyelengaraan aset untuk memaksimumkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada.
“Kerajaan turut memberi penekanan terhadap aspek integrasi rel, keselamatan, ketersambungan dan kebolehcapaian perkhidmatan bagi melancarkan perjalanan serta memastikan keselamatan penumpang ke destinasi mereka.
“Sebagai contoh komitmen kesinambungan pengangkutan, Stesen MRT Titiwangsa bakal berintegrasi dengan sebuah hab pengangkutan bas bandar, ” katanya.
Tambah beliau, jajaran MRT Putrajaya juga dilengkapi dengan kemudahan 10 stesen penukaran dan sambungan ke laluan rel LRT, ERL, KTMB dan lain-lain bagi memudahkan pergerakan pengguna dan bagi perjalanan lebih efisien.
“Demi keselamatan penumpang, tren MRT juga dilengkapi alat Unit Komunikasi Penumpang atau ‘Passenger Communication Unit’ (PCU) yang disambungkan dengan Pusat Kawalan Operasi untuk memperkukuhkan keyakinan orang
ramai.