comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan tentukan status GISBH Khamis Ini

Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan akan memuktamadkan status doktrin diperjuangkan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai ajaran sesat, pada Khamis ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat fatwa Wilayah Persekutuan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat fatwa pada 24 Oktober ini khusus untuk (membincangkan) isu GISBH dan sama ada ia akan diwartakan sebagai ajaran sesat,” katanya, memetik BH Online.

Bagaimanapun, Luqman berkata, fatwa mengenai ajaran sesat gerakan Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa Corporation (SRC) yang pernah dikeluarkan sebelum ini masih boleh diguna pakai bagi tujuan penguatkuasaan.

Sebelum ini, beberapa negeri antaranya Melaka, Perlis, Selangor, Sabah dan Pulau Pinang sudah memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai ajaran sesat.

Antaranya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 20 September lalu memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah iaitu kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam yang difatwakan sesat.

Sementara itu, ditanya perkembangan ajaran sesat di Wilayah Persekutuan, Luqman mengakui ada kumpulan yang dikenal pasti, namun ia tidak sebanyak di negeri lain.

“Di Kuala Lumpur (misalnya) ada, angkanya lebih kurang sama seperti Selangor, namun apa yang membezakan adalah penguatkuasaan kebanyakannya (berlaku) di luar Wilayah Persekutuan.

“Setakat ini di Wilayah Persekutuan ada 20 lebih ajaran sesat yang sudah difatwakan,” katanya.

Sabtu lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendedahkan terdapat lebih 40 kumpulan ajaran sesat di negeri ini dalam pemantauan untuk tindakan penguatkuasaan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya berdepan cabaran hebat dalam usaha mengendalikan kumpulan ajaran sesat terbabit kerana mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini