comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa Fatwa Perlis isytihar GISBH sebagai kumpulan ajaran sesat

Oleh Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada Jumaat memutuskan ajaran dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mempunyai unsur ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, fatwa berkenaan dikeluarkan setelah menerima bukti yang meyakinkan untuk memutuskan bahawa organisasi berkenaan adalah sesat terutamanya apabila terdapat unsur batiniah.

“Setelah jawatankuasa berbincang maka perkara berikut diputuskan bahawa kumpulan GISBH yang mengkultuskan (memuja) pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batas.

“Ia seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Dr. Maza, ada dilihat mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka selain mengaitkan ketua yang dikultuskan dengan unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan yang salah termasuk menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

Katanya, pemimpin mereka yang sudah mati juga dipercayai sebenarnya masih hidup dan dapat memberi panduan kepada mereka selain mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasi aktiviti mereka yang bercanggah dalam solat, pernikahan (munakahat) dan muamalat.

“Segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang. Penelitian jawatankuasa itu juga mendapati bahasa aktiviti ekonomi syarikat berkenaan GISBH juga tidak mengamalkan model ekonomi yang sebenar.

“Ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terbabit termasuk eksploitasi ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini