comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa Fatwa MKI sudah ada pandangan mengenai hukum fahaman GISBH

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah mempunyai pandangan hukum mengenai fahaman disyaki sesat yang cuba didoktrinkan oleh GISBH Holdings (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai pada Muzakarah MKI yang bersidang di Kuala Terengganu pada 23 dan 24 September lalu.

“Kita sudah ada pandangan hukum yang dipersetujui berkaitan dengan GISBH. Cuma pandangan ini belum lagi diberikan perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Multaqa Murabbi Institut Pendidikan Islam (IPI) Peringkat Kebangsaan 2024 di Auditorium Kompleks Pusat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata pandangan hukum itu dikeluarkan berikutan Jawatankuasa Fatwa MKI tiada kuasa untuk mengeluarkan fatwa.

“Fatwa hanya boleh dikeluarkan di peringkat negeri oleh jawatankuasa fatwa negeri yang kemudian diperkenankan oleh Tuanku (Sultan atau Raja) negeri tersebut,” katanya.

Mohd Na’im berkata keputusan pandangan hukum yang diperolehi berdasarkan kertas cadangan dibentangkan oleh Sirajuddin berkaitan GISBH dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Fatwa MKI.

“Saya tidak boleh umumkan di sini. Nanti kita akan bawa ke Majlis Raja-Raja yang akan memberi perkenan kepada pandangan hukum tersebut.

“Setelah Majlis Raja-Raja memberikan perkenan kepada pandangan hukum tersebut, negeri-negeri akan bawanya kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti negeri tersebut dan selepas itu kuasa negeri untuk memulakan pandangan ataupun fatwa tersebut,” katanya.

Hari ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISBH sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.

Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa mengadakan mesyuarat khas pada Rabu lalu.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Jawatankuasa Fatwa Perlis sebelum ini turut memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah sekali gus menjadikan ia negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini