KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) mengumumkan pelantikan Jasbant Singh dan Farrah Naz Abd Karim sebagai Pengarang Urusan Kumpulan dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan berita.
Media Prima dalam kenyataan, berkata pelantikan kedua-dua mereka berkuat kuasa pada 1 November lalu.
Pelantikan itu susulan persaraan Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman selepas 33 tahun berkhidmat.
Pelantikan Jasbant dan Farrah Naz juga menandakan integrasi Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di bawah Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima.
Jasbant akan mengambil alih kepemimpinan Media Prima Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa yang merangkumi operasi editorial MPTN, NSTP dan melaporkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan, sementara Farrah Naz melaporkan kepada Jasbant, bertanggungjawab menyediakan sokongan kepada editorial sambil meneruskan peranannya sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST).
Integrasi operasi berita itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan sinergi lebih besar untuk mengukuhkan kedudukan Media Prima sebagai penyedia berita terkemuka negara.
Jasbant berpengalaman lebih 30 tahun dalam penerbitan media cetak, televisyen dan kewartawanan dalam talian, sudah berkhidmat dalam kedua-dua organisasi media tempatan dan antarabangsa.
Beliau memulakan kerjayanya di BERNAMA, kemudian menyertai TV3 sebagai wartawan dan seterusnya menggalas tugas Timbalan Pengurus Berita dan Hal Ehwal Semasa stesen itu.
Jasbant juga pernah berkhidmat dengan Associated Press (AP) dan Al-Jazeera, di mana beliau membuat liputan berita utama tempatan dan antarabangsa termasuk ancaman keganasan di Asia Tenggara selepas serangan 11 September.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarang Urusan Free Malaysia Today (FMT) selama tiga tahun.
Seterusnya sejak dua tahun lalu, Jasbant menerajui operasi berita MPTN yang meliputi TV3, Saluran 9, Saluran 8 dan DidikTV.
Sementara itu, Farrah Naz menggalas pelbagai jawatan dalam NSTP sejak 2000 termasuk Pengarang Eksekutif Kumpulan, Ketua Biro Putrajaya, Pengarang Bersekutu (Berita dan Hal Ehwal Semasa) dan Pengarang Eksekutif (Komersial dan Integrasi).
Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab Penerbit Eksekutif Program Hal Ehwal Semasa di MPTN.
Sepanjang kerjayanya, Farrah Naz pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk kemenangan berturut-turut dalam Anugerah Kajai Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 2014 dan 2015.
Beliau juga memenangi anugerah MPI lain termasuk Pelaporan Berita Terbaik, Wartawan Penyiasatan Terbaik, Kolumnis Terbaik dan Laporan Berita Terbaik antara 2015 dan 2018.
Selain itu, baru-baru ini, Farrah Naz dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta memenangi anugerah antarabangsa.
Ia termasuk anugerah Society of Publishers in Asia (SOPA) dalam kategori Berita Terkini dan anugerah Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Dunia (WAN-IFRA) untuk Artikel Rencana Akhbar Terbaik.
Selain peranannya di Media Prima, Farrah Naz juga berkhidmat sebagai Timbalan Presiden MPI dan Naib Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC).
Dalam pada itu, menurut Media Prima, latar belakang Jasbant dan Farrah Naz yang luas dalam kewartawanan adalah aset tidak ternilai kepada kumpulan media bersepadu terbesar negara dalam usaha untuk terus mengukuhkan saluran media digital, cetak dan penyiaran.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zaini atas sumbangan besar sepanjang beliau berkhidmat dengan kami,” kata kumpulan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.