comscore
Tumpuan :
Nasional

Jasad Muhammad Luqman akhirnya ditemui 

FOTO: Ihsan Bomba

BALING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berkelah dengan rakan, ditemukan lemas di Lata Bayu, Asam Jawa, di sini.

Jasad Muhammad Luqman Zuraidi, 27, dari Kota Sarangi Semut, Pendang ditemukan oleh pasukan Bomba ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, hari ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud pihaknya menerima panggilan bantuan daripada pihak polis berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.03 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Saifuddin Ismail tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi, dimaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 27 tahun dipercayai hilang sejak semalam ketika berkelah dengan tiga rakannya di situ.

FOTO: Ihsan Bomba

“Tindakan operasi yang dilakukan anggota kami adalah dengan melakukan pencarian di sekitar permukaan air dan sekitar kawasan perkelahan itu.

“Selain, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani turut melakukan pencarian mangsa di dasar sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, hasil pencarian itu menemukan mangsa pada jam 11 pagi tadi tidak jauh dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata, mangsa ditemui sudah meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi itu disertai pelbagai agensi temasuklah enam anggota BBP Baling, tiga anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K-9), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, empat anggota PPDA dari Sungai Petani serta dibantu orang awam.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini