comscore
Tumpuan :
Nasional

Jasad mendiang Leftenan Sivasutan disempurnakan di pusat krematorium Kampung Serdang

MANJUNG: Mayat mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, yang maut dalam tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa lalu, disempurnakan di pusat krematorium dekat Kampung Serdang, Sitiawan, hari ini.

Terdahulu jasad mendiang dibawa ke pekarangan pusat krematorium itu pada jam 11.30 pagi diiringi ahli keluarga, rakan serta pegawai TLDM.

Upacara keagamaan sebelum pembakaran yang dijalankan turut disertai bapa mendiang, M Thanjappan, 61, disusuli dengan upacara menanggalkan pingat dan aksesori perkhidmatan daripada seragam yang dipakai mendiang sebelum pembakaran dimulakan tepat jam 12.15 tengah hari.

Terdahulu, jasad mendiang diberikan kawalan kehormat oleh 14 pegawai dan anggota TLDM di kediaman keluarganya.

Panji TLDM yang membaluti keranda diserahkan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama R Harisundar, kepada ibu mendiang, R Paramesvary, 60 sebagai simbolik penghargaan pengorbanan mendiang dalam pasukan.

Thanjappan yang kehilangan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik itu kelihatan tenang sepanjang upacara berlangsung.

Sivasutan adalah di antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM (M503-3) yang dinaiki tujuh anggota.

Semua 10 pegawai dan anggota TLDM yang terbabit nahas itu terkorban di lokasi.

Mendiang yang bertugas sebagai juruterbang unit Skuadron 502 baru melangsungkan perkahwinan bersama isteri, Dr S Harshini, 31, yang juga seorang doktor gigi pada Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini