comscore
Tumpuan :
Nasional

Jasad anggota bomba lemas ditemui selepas 19 jam operasi mencari

Mayat anggota bomba, Mohd Izwan Illias yang lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, Butterworth ditemui selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Anggota bomba yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, di sini, akhirnya ditemui selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Jasad Allahyarham Mohd Izwan Illias, 42, ditemui kira-kira jam 5.30 petang tadi dalam radius 20 meter (m) dari lokasi terakhir beliau dilaporkan terjatuh.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata penemuan itu susulan tindakan mengecilkan skop pencarian hasil petunjuk anjing pengesan K9 dan pergerakan arus sungai.

Jelasnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Isteri kepada seorang anggota bomba yang dikhuatiri lemas, Jamaliah Abd Majid memaklumkan naluri hatinya merasakan ada sesuatu tidak kena sebelum mendapat khabar duka berhubung kejadian menimpa suaminya. – FOTO: NSTP

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pihaknya mengklafikasikan Mohd Izwan terkorban ketika menjalankan tugasnya dan satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan diadakan sebagai tanda menghargai komitmen allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan JBPM.

“Dalam operasi (SAR) ini, ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar iaitu bagaimana semangat setiakawan yang kukuh dan bagaimana perasaan mak ayah yang tenang di peringkat awal dan hujung menerima kenyataan bahawa anaknya yang seorang anggota bomba tidak dapat lari dari risiko luar jangka.”

“Kini, tindakan seterusnya yang paling penting adalah melihat soal kebajikan balu dan lima anak arwah yang ditinggalkan yang kita akan koordinasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan melihat dalam payung kebajikan bomba,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman,77, berkata dia bersyukur jasad anak ketiganya itu ditemui dan reda atas kehilangan Mohd Izwan.

Ahli keluarga kepada anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, Butterworth kelihatan tenang selepas menerima berita penemuan mayat mangsa. – FOTO: NSTP

“Kami sekeluarga reda dan tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana sudah menjadi takdir untuk anak pak cik kembali ke sisi pencipta. Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus mencari anak pak cik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota bomba dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, di sini, kira-kira jam 10 malam semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini