comscore
Tumpuan :
Nasional

JAS sahkan tiada aktiviti balak, pencemaran di Gunung Bongsu

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab (dua dari kiri) ketika melakukan tinjauan di Lot PT686, Kompartmen 28 di Hutan Simpan Gunung Bongsu.

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

KULIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesahkan tiada kerja-kerja ‘pembukaan jalan’ bagi aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, di sini, sehingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata ia susulan tinjauan bersepadu JAS bersama polis pada Jumaat, bagi menyiasat aduan diterima.

Katanya, tinjauan ke Lot PT 686, Kompartmen 28 di hutan simpan terbabit, yang jaraknya kira-kira 4 kilometer dari kawasan perkampungan terdekat dilakukan mengikut pematuhan terhadap keperluan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Dalam pemantauan ini saya mengesahkan bahawa tidak berlaku seperti dakwaan dan kita juga tidak menemui sebarang jentera bagi kerja-kerja penebangan balak di lokasi yang dimaksudkan dalam aduan.

Menurutnya, lokasi terbabit dipercayai telah ditinggalkan sejak 2019 berikutan penggerak projeknya yang akur untuk memberhentikan kerja kerana kelulusan Laporan Penilaian Impak Kepada Alam Sekitar (EIA) yang tamat pada 11 Disember 2017.

“Sebelum ini ada satu projek yang diluluskan di kawasan ini. Tetapi laporan EIA telah tamat tempoh dan pihak terbabit diarahkan untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti sehinggalah mereka mengemukakan laporan EIA baru dan mendapat kelulusan.

“Dalam kajian EIA nanti, mereka (penggerak projek) perlu mengambil kira pandangan penduduk setempat la… Maksudnya mereka kena buat consultation (rundingan) dengan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang ditemui Buletin TV3 memberitahu terdapat cubaan ‘membuka jalan’ bagi aktiviti pembalakan dan projek kuari di kawasan itu, tetapi dibantah penduduk dari 16 perkampungan sekitar.

“Banyak kali kami buat bantahan ini. Sebab bila berlaku aktiviti pembalakan itu banyak perkara akan terjejas.

“Antaranya risiko banjir puing, kerugian boleh sampai beribu-ribu ringgit, kemudian menjejaskan pengusaha ternakan ikan kelisa dan tilapia, ditambah lagi dengan penduduk yang buat tanaman.

“Kalau naik (Gunung Bongsu) boleh nampak sebelah kawasan rizab bersebelahan Gunung Bongsu tu ada kebun. Kebun durian, kebun sawit di sepanjang sempadan itu. Jika aktiviti tu tak dihentikan mungkin akan terjejas semuanya,” kata penduduk Kampung Sungai Tengas, Che Hasri Che Din.

Seorang lagi penduduk, Md Nasir Ali, berkata dia amat bersyukur apabila kerja-kerja penebangan balak di Gunung Bongsu dihentikan buat masa ini.

“Alhamdulillah, berkat doa-doa orang kampung… Sebab orang kampung ni memang susah hati la kalau diteruskan projek ni kerana boleh menyebabkan masalah air kat penduduk kampung sini.

Dalam laporan media sebelum ini, penduduk mendakwa berlaku aktiviti pembalakan dan ladang hutan di Kompartmen 15, 42 dan 43 di Hutan Simpan Gunung Bongsu.

Walau bagaimanapun, JAS Kedah dalam satu kenyataan memberitahu terdapat dua projek yang telah mendapat kelulusan laporan EIA di kawasan hutan simpan terbabit.

Bagi projek kedua iaitu kuari bahan batuan di Lot PT 686, Kompartmen 28 dan 29, kelulusan laporan EIA terdahulu telah tamat tempoh kerana tidak dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

Bagi permohonan baru, JAS Kedah mengesyorkan penggerak projek untuk mendapatkan pandangan orang awam dalam proses kajian EIA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini