Tumpuan :
Nasional

JAS Kedah buat penahanan operasi terhadap kilang terbakar di Bukit Selambau

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kedah melakukan penahanan operasi ke atas satu daripada tiga premis kilang yang terbakar di Bukit Selambau, di sini Ahad lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu dilakukan hasil rakaman percakapan bersama tuan tanah dan salah seorang pemilik premis yang merupakan warga tempatan, hari ini.

Dua lagi pemilik premis katanya dimiliki bukan warga tempatan, masih dalam proses untuk dirakam percakapan.

“Tindakan penahanan operasi ini adalah dengan membuat sitaan barangan selepas mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen dari JAS untuk mengumpul dan memproses buangan terjadual.

“Operasi premis-premis ini adalah tertakluk kepada keperluan Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana pemilik premis ini perlu mempunyai lesen daripada Jabatan Alam Sekitar bagi menduduki atau menggunakan premis.” katanya.

Bagi menjalankan kilang atau kemudahan pemerolehan kembali, pengolahan dan pelupusan buangan terjadual, pemilik premis katanya perlu mengemukakan permohonan kepada JAS bermula dari peringkat input pembangunan.

Ia bagi mengenal pasti kesesuaian tapak atau lokasi bagi cadangan pembangunan yang hendak dibangunkan.

Di samping itu, penelitian akan dibuat terhadap pembangunan yang dimohon sama ada tertakluk di bawah Jadual Pertama atau Jadual Kedua, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Tambahnya, sebarang aktiviti tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34(8) Akta yang sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini