Tumpuan :
Nasional

JAS Kedah arah pembersihan tumpahan susu getah mencemar sawah

Pihak JAS Kedah memastikan kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya serta tidak membawa kesan kepada tanaman padi di kawasan terbabit.

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengarahkan syarikat pengangkutan lori treler yang menyebabkan tumpahan susu getah dalam kemalangan jalan raya sehingga mencemari sawah padi berhampiran segera membersihkan sisa berkenaan.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya serta tidak membawa kesan kepada tanaman padi di kawasan terbabit.

Katanya, sebuah lori treler yang membawa dua kontena muatan susu getah (lateks) dari Hatyai, Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang telah terbabas ke parit di tepi jalan di Lebuhraya PLUS KM 41.2 arah selatan dari Hutan Kampung ke Alor Setar Utara, pada jam 6.40 petang, Sabtu lepas.

Hasil pemeriksaan pada hari kejadian, dianggarkan 40,000 liter susu getah telah tumpah sepenuhnya daripada kontena lori berkenaan dan memasuki longkang dan parit berhampiran.

Anggaran jajaran parit yang terlibat pada peringkat awala adalah 300 meter sepanjang meter, namun mendapati susu getah telah bergerak hingga lebih 500 meter di kiri dan kanan dan sebahagian memasuki sawah, semalam.

“⁠Tindakan awal diambil oleh PROPEL dan PLUS pada hari kejadian bagi membantu kerja-kerja meminimumkan pengaliran sisa tumpahan susu getah dan mengelakkan ia sampai ke sungai berdekatan. Bagi membendun dan meminimumkan aliran tersebut, pihak PROPEL PLUS telah menyekat dengan menggunakan beg-beg guni pasir dan tanah di jajaran longkang.

“⁠Pada hari kejadian, JAS Kedah telah arah pihak syarikat supaya melantik kontraktor, bagi kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan susu getah dan kerja pembersihan terbabit.

“⁠Syarikat kontraktor telah dilantik dan telah mula membuat pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air mulai pagi semalam selepas kerja pengalihan lori selesai dibuat pada Ahad.

“⁠JAS telah mengambil sampel sisa tumpahan susu getah yang masih dalam bentuk cecair di longkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, pemantauan berterusan masih dilakukan oleh JAS bagi memastikan kerja-kerja pembersihan dibuat sehingga sempurna dan buangan dihantar ke premis kitar semula getah yang berlesen dengan Jas di Pulau Pinang.

Setakat semalam 3 lori digunakan untuk mengangkut sisa getah yang dipam dengan jumlah keseluruhan 36 tan.

Kerja-kerja pengepaman masih berlangsung hari ini dan dijangka mengambil masa 2-3 hari lagi untuk selesai.

“JAS Kedah menasihatkan syarikat-syarikat lori untuk membuat pemeriksaan rapi terhadap kenderaan berat yang digunakan bagi mengangkut bahan-bahan mentah seperti bahan kimia, susu getah dan sebagainya untuk memastikan keadaan kenderaan serta tayar selamat untuk digunakan.

“Selain dari itu, pemandu kenderaan juga perlu terlatih dan berada dalam keadaan baik serta sesuai untuk memandu bagi mengelak kemalangan seperti ini berlaku.

“Syarikat juga perlu mempunyai SOP dan senarai kontraktor yang boleh digunakan bagi membersihkan bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku tumpahan,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini