comscore
Tumpuan :
Nasional

`Janji adik balik walaupun sebagai jenazah’

Fadlysham dan isteri menerima berita penemuan mayat adik mereka Muhammad Fikri hari ini. – FOTO NSTP

BATU PAHAT: “Alhamdulillah doa saya makbul jua akhirnya,” kata Fadlysham Saliman, 44, abang kepada Allahyarham Muhammad Fikri, 24, yang ditemui pada jam 9.26 pagi tadi selepas dihanyutkan arus dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar di Kemaman, Terengganu minggu lalu.

Katanya dia tergerak hati  malam tadi untuk bersama kariah surau Parit Kuda mengadakan solat hajat dengan harapan semoga adiknya ditemui.

Menurutnya, dia mendapat berita mengenai penemuan adiknya sekitar jam 10 pagi sekali gus menamatkan penantian selama seminggu.

“Kami sudah reda dengan pengakhiran adik seperti itu, cuma kami perlu kuat untuk melaluinya. Penemuan mayat adik pada hari ini (Jumaat) mengingatkan arwah kakak, Linda Azura yang ditemui lemas pada hari sama ketika menyelamatkan anaknya, Haikal Izzudin kira-kira 15 tahun lalu.

“Kakak dan anaknya juga meninggal hari sama, kali ini giliran adik pula. Semua ini surat tertulis dan kami menganggap ia aturan yang sangat baik dari Allah.

“Pagi tadi, apabila dapat berita ini (penemuan adik) saya bersyukur walaupun berat hati. Janji dia balik dalam apa jua keadaan, kita terima dan reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Kuda, Semerah, di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak ipar Muhammad Fikri, Nurul Ain Zubaidah, 34, berkata mereka dimaklumkan arwah Muhammad Fikri ditemui tidak jauh dari lokasi bakal mentuanya, Karim Abdullah pada 3 Julai lalu.

Katanya, memandangkan mayatnya belum ditemui ketika itu, mereka sekeluarga menyiapkan sehelai baju Muhammad Fikri untuk dibawa ke sana sebagai ikhtiar supaya jasadnya dapat ditemui secepat mungkin.

“Sepatutnya, baju itu mahu dibawa ke Terengganu pagi esok melalui seorang penduduk kampung ini untuk diserahkan pada abangnya, Shahrizal.

Tapi, tak jadi kerana kami dimaklumkan, adik sudah ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, perkarangan rumah Fadlysham tidak putus-putus dikunjungi penduduk kampung dengan beberapa persiapan dilakukan bagi menyambut ketibaan jenazah Muhammad Fikri, dijangka jam 9 pagi esok.

Sebelum ini, Muhammad Fikri antara dua mangsa belum ditemui termasuk bakal adik iparnya Putri Nor Fatin, 14.

Loading...
Terkini