Tumpuan :
Nasional

Jangan wujud tanggapan pelancong China tidak dialukan – Menteri

Orang ramai terutama warganet diminta berhati-hati dalam memberi komen di media sosial berkaitan isu ketibaan pelancong China susulan pembukaan semula sempadan negara itu bermula 8 Januari ini. – FOTO: AFP

PUTRAJAYA: Orang ramai terutama warganet diminta berhati-hati dalam memberi komen di media sosial berkaitan isu ketibaan pelancong China susulan pembukaan semula sempadan negara itu bermula 8 Januari ini.

Menteri Pelancongan, Tiong King Sing dalam hantaran di Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina hari ini, berkata ia bertujuan supaya jalinan persahabatan antara Malaysia dan China tidak dirosakkan.

“Biarpun beberapa berita terutama di platform media sosial membuat laporan negatif berkaitan keputusan China membuka semula sempadan negara, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua orang supaya berhati-hati dalam kata-kata dan tindakan anda.

“Jangan membuat komen yang tidak mesra sebelum anda mengetahui gambaran penuh keseluruhannya.

“Jangan merosakkan persahabatan antara Malaysia dan China atau wujudkan tanggapan bahawa kita tidak mengalu-alukan kedatangan mereka (pelancong China),” katanya.

King Sing berkata, sebarang persoalan atau keraguan perlu dibangkitkan melalui saluran yang betul.

“Berkomunikasi, berbincang strategi yang baik, mencapai situasi menang-menang dan hadapinya bersama,” katanya.

Awal bulan lalu, China menamatkan dasar Sifar COVID bagi membendung wabak itu dengan pembukaan semula sempadan negara.

Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Susulan itu, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA), manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.

KKM turut menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak berikutan jangkaan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Namun, beberapa pihak termasuk pakar kesihatan menggesa kerajaan supaya tidak perlu terburu-buru menerima kedatangan pengembara dari China, terutama pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran di negara ini.

Loading...
Terkini