comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan tuduh Kerajaan MADANI gagal tangani miskin tegar- Anwar

Oleh: Fahiz Ariff, Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff bahawa Kerajaan MADANI pimpinannya gagal menoktahkan masalah kemiskinan tegar sebagaimana yang telah dijanjikan pada 2023.

Sebaliknya berkata, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kategori tersebut turut didorong daripada rekod sebelum ini iaitu ketika Perikatan Nasional (PN) mengetuai pentadbiran kerajaan.

“Janganlah kata gagal, jumlah yang saya sebut tadi itu adalah jumlah yang direkodkan kerajaan terdahulu, kemudian kita guna angka itu dan kita selesaikan

“Saya minta Kerajaan Negeri, termasuk Pegawai Jajahan untuk tambah lagi dan kita lakukan dan kita pinda daripada pendekatan lama yang kerajaan dulu buat kepada pendapatan per kapita berdasarkan maklumat baharu” jelasnya ketika waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menegaskan, setakat 21 Oktober lalu, sebanyak 65.6 peratus kemiskinan tegar atau 15,029 ketua isi rumah telah diselesaikan berdasarkan rekod yang didaftarkan.

“Apa yang diperoleh setakat 31 Januari 2023 adalah setiap ketua isi rumah termasuk kategori miskin tegar 126,372 orang. Manakala, setakat 29 Julai 2024, yang dikesan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan e-kasih juga telah diselesaikan.

“Angka itu bertambah kerana kejayaan tersebut merupakan jumlah baru didaftarkan sehingga 29 Julai lalu.

“Pada 1 Ogos 2024 kita buka untuk permintaan baru termasuk rekod lama yang perlu dibantu 22,893 orang, ia setakat Julai tahun ini,”jelasnya.

Sementara itu, ketika sesi pertanyaan menteri itu juga, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan tampil dengan soalan tambahan yang meminta Perdana Menteri menoktahkan kemiskinan semua kaum kerana walaupun majoriti paling miskin adalah daripada kaum Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan yang miskin adalah daripada kaum India.

Justeru, Perdana Menteri menegaskan pendekatan kerajaan noktahkan miskin tegar adalah tidak mengira kaum, semua warganegara yang susah wajib dibantu tanpa diskriminasi.

“Sebagai contoh, bila kita selesaikan miskin tegar di Kuala Lumpur, kita tidak ikut kaum.

“Maknanya semua masyarakat miskin tegar (membabitkan) Melayu, jumlah kecil masyarakat Cina, tapi besar (jumlahnya) dalam masyarakat India. Itu diselesaikan dan tidak benar dikatakan hanya untuk Melayu tapi tentunya majoriti ialah masyarakat Melayu.

“Saya harap penjelasan ini jelas dan jika ada kenyataan sebaliknya, maklum pada saya kerana ia bertentangan dengan dasar kita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini