KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan membabitkan pengampunan bantuan atau pengurangan hukuman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengampunan mana-mana banduan atau pengurangan hukuman adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2), Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, apa sahaja pengampunan perlu melalui Lembaga Pengampunan dan bukan melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang menyalahi undang-undang.
“Mana-mana perhimpunan yang tidak sah hanya akan membawa kepada ketidaktenteraman dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit.
“Semua pihak harus memahami bahawa undang-undang adalah asas kepada kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan menyertai perhimpunan berhubung isu pengampunan banduan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun seolah-olah tidak menghormati titah baginda.
Katanya, setiap rakyat perlu mendukung prinsip Rukun Negara, terutama kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang juga merupakan asas kemakmuran negara.
“Proses pengampunan adalah mekanisme perundangan yang sah dan perlu dihormati.
“Marilah kita bersama-sama memastikan keharmonian negara terus terpelihara dengan mematuhi lunas undang-undang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.