Tumpuan :
Nasional

Jangan sebar video lelaki ditembak di Taman Setia Indah – Polis Johor

JOHOR BARU: Polis memberi amaran agar tidak menyebarkan rakaman video seorang lelaki ditembak di hadapan sebuah restoran di Taman Setia Indah semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata lelaki berusia 40 tahun itu meninggal dunia dengan empat kesan tembakan.

Beliau memberi jaminan kepada orang ramai mengenai kejadian tembakan itu sebagai insiden terpencil dan ia tidak membabitkan kebimbangan keselamatan yang lebih meluas di Johor.

Mangsa dihampiri lelaki memakai baju biru muda, bertopi keledar.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat salah yang boleh mengganggu siasatan atau menyebabkan keresahan yang tidak perlu.

“Jangan sebarkan khabar angin atau buat spekulasi liar yang akan membawa kepada ketakutan yang tidak perlu,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup selama 30 saat menunjukkan seorang lelaki memakai jaket biru muda, topi keledar hitam berpenutup penuh dan sarung tangan dilihat berjalan ke arah seorang lelaki yang sedang bercakap di telefonnya di hadapan restoran.

Klip tanpa audio itu merakamkan suspek menghampiri mangsa dari belakang sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Suspek dilihat terus melepas tembakan walaupun mangsa rebah.

Kejadian itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen bahawa suspek kemungkinan pembunuh upahan.

Setakat ini siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini