comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan politikkan program anjuran universiti – Zamry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir meminta segelintir pihak berhenti menuduh program yang dianjurkan mana-mana universiti di negara ini adalah bersifat politik.

Ini kerana katanya, tidak semua program anjuran universiti itu mempunyai kaitan dengan parti politik.

“Pihak universiti juga bebas membuat sebaran am berkenaan program yang dianjurkan untuk menjemput sesiapa sahaja yang hadir.

“Jadi ia tidak bermakna orang lain tidak boleh hadir, jadi saya fikir elok kita tidak politikkan perkara ini dalam usaha universiti memberi maklumat dan ilmu kepada masyarakat.

“Malah saya amat mengalukan amalan yang dianjurkan universiti supaya masyarakat mendapat manfaat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia–China anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.

Mengulas berkenaan Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia–China, Zamry berkata, program anjuran UUM itu adalah berkaitan dengan hubungan Malaysia dengan China sempena 50 tahun.

“Saya ingin sebutkan di sini, penganjuran oleh universiti ini tiada kaitan dengan politik parti.

“Program seperti ini dianjurkan supaya ia dapat memberi perspektif kepada masyarakat kerana ia tidak tertakluk atau terhad kepada kumpulan tertentu sahaja,” katanya.

Malah katanya, hubungan kedua-dua negara itu sangat signifikasi terutama dalam bidang perdagangan yang semakin pesat apabila China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia.

Katanya, begitu juga beberapa program dari segi pertukaran teknikal seperti Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Malah, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sendiri sudah adakan lawatan ke China dua kali bagi membincangkan program besar untuk menghantar pelajar bagi mendapatkan peluang dan kepakaran dalam bidang tertentu,” katanya.

Berkenaan perancangan strategik TVET, Zamry berkata KPT sudah mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET.

Katanya, Ahmad Zahid sudah mengarahkan TVET tinggi dikendalikan oleh KPT manakala TVET asas dikendalikan melallui agensi dan institusi yang ditetapkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Dengan cara ini, ia dapat memberikan pengkhususan dan fokus pada bidang-bidang tertentu bagi memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini