comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan politikkan kenyataan berhubung flat kos rendah – Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. – FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah memberi amaran kepada segelintir pihak supaya tidak menjadikan kenyataan baginda berhubung keadaan flat kos rendah di negeri itu sebagai isu politik.

Sultan Ibrahim bertitah isu tersebut bukan perkara baharu, malah kerajaan sebelum ini turut mengetahui keadaan flat tersebut.

“…tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini,” titah baginda kepada Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

Sultan Johor bertitah baginda terpaksa bersuara dan mengemukakan masalah itu kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

Baginda bertitah SWM Environment Sdn Bhd sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah, langsung tidak memuaskan mutu kerjanya terutama di flat-flat kos rendah.

“Tidak ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu politik,” tegas baginda sambil menghargai komitmen Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang datang menghadap baginda, Isnin lepas.

“Kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,” titah Sultan Johor.

Isnin lepas, dilaporkan Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah atau flat awam di negeri itu.

Titah baginda kebanyakan flat kos rendah di Johor dalam keadaan daif dengan sampah dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa. – BERNAMA

Loading...
Terkini