Oleh: Fahmi Tajuddin
PETALING JAYA: CUEPACS menggesa semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu kenaikan gaji penjawat awam yang dianggap memberi kebaikan terhadap sektor perkhidmatan awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, mana-mana pihak terutamanya ahli politik perlu bersikap lebih matang dalam membincangkan sebarang isu sebelum menjadikan ia sebagai ‘modal’ politik.
“Janganlah kita mewujudkan polemik dan kegusaran terhadap usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan.
“Ahli politik dipohon supaya bersikap lebih matang dan bijak serta bertanggungjawab dalam memainkan isu-isu yang hendak mereka ketengahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau menzahirkan rasa kecewa apabila timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan melalui penolakan sokongan terhadap cadangan kenaikan gaji penjawat awam yang akan menjadi antara intipati Belanjawan 2025 nanti.
Katanya lagi, idea penolakan cadangan itu amat mengecewakan rata-rata penjawat awam yang sudah lama menanti pelarasan semula skim gaji supaya mampu menampungi peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“CUEPACS berpesan supaya janganlah emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam.
“Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata CUEPACS amat konsisten untuk meneruskan perjuangan supaya isu kenaikan gaji seperti diumum Perdana Menteri baru-baru ini disokong sepenuhnya semua pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Perdana Menteri pada Rabu lalu mengumumkan penstrukturan semula gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024.
Hasil akhir daripada Kajian SSPA itu akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen menerusi Belanjawan 2025 pada Oktober depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kenaikan gaji penjawat awam 35 peratus pada 2007 perlu dilihat dalam konteks berbeza – Fahmi
- [VIDEO] Pengumuman kadar kenaikan gaji memberikan kelegaan kepada penjawat awam – CUEPACS
- Gaji penjawat awam naik lebih 13% mulai Disember ini, terbaik dalam sejarah – PM
- Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus – PM
- Perincian naik gaji penjawat awam akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 – Fahmi Fadzil
- Kakitangan awam yang malas tidak layak terima kenaikan lebih 13 peratus – PM
- Anwar yakin Parlimen lulus bergaya keputusan kenaikan gaji penjawat awam