Tumpuan :
Nasional

Jangan noktahkan minat dalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang-Sultan Sallehuddin

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan pembentukan Malaysia tidak menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri yang telah wujud sejak sekian lama dipadam.

Titah baginda, amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat cuba didiamkan khususnya berhubung sejarah dan kedaulatan Negeri Kedah.

“Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai sejarah negeri Kedah mulai subur di pelbagai platform. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah Negeri Kedah khususnya berhubung kedudukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.”

“Pada hemat Beta perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Negeri Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.”

Baginda menambah, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

Walaubagaimanapun, perbincangan mengenai perkara ini haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang. Hal ini adalah kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara.”

Baginda menegaskan, peristiwa lampau yang telah meletakkan negeri dalam keadaan yang sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah harus dijadikan pedoman serta peringatan agar kita lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu, sebaliknya medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan.

“Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini.”

“Beta berharap sejarah negeri akan terus dihayati oleh semua pihak kerana ianya cukup bernilai tinggi. Sejarah tidak boleh dibeli melainkan ditempa dengan darah dan air mata.”

Baginda bertitah demikian ketika berucap bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bersama kerabat diraja negeri Kedah.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Loading...
Terkini