Tumpuan :
Nasional

Jangan makan dwicangkerang dari Melaka, amaran Jabatan Perikanan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa serta-merta, orang awam di Melaka dilarang untuk memakan dwicangkerang susulan kehadiran alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perikanan (DOF) memaklumkan, larangan itu berkuat kuasa sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.

“Hasil analisis yang dijalankan oleh makmal Biosekuriti DOF terhadap sampel kupang dan air yang diambil pada 3 April 2024 (Rabu) dari Sebatu, Melaka telah menunjukkan kehadiran alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan selama tempoh 20 hari dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (National Shellfish Sanitation Program – NSSP) yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, DOF pada Selasa lalu telah mengeluarkan hebahan larangan sementara kepada pengusaha dan penternak bagi menghentikan serta merta aktiviti menjual dan mengeluarkan kupang ternakan melalui sistem pancang, rak dan p-line dari perairan Melaka.

Larangan tersebut adalah tindakan pencegahan awal yang diambil Pejabat Perikanan Negeri Melaka berikutan kes kupang tercemar di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Orang awam juga diminta untuk segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri atau Daerah yang berhampiran jika mengesan atau melihat perubahan warna air laut kepada warna merah, coklat, kuning atau hijau,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, DOF mengesahkan kupang dari perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang dicemari biotoksin serta tidak selamat dimakan.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah dilapor berkata, terdapat sembilan kes direkodkan akibat kes keracunan berkaitan pengambilan kupang tersebut dengan hanya seorang pesakit iaitu lelaki berusia 70-an masih mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Port Dickson.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini