Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Semua ahli parlimen digesa menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat, tempat undang-undang digubal, selain menjadi medan semak serta imbang (check and balance) terhadap pentadbiran negara.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, tetapi adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.
“Hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri saja,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, baginda turut menghargai peranan yang telah dimainkan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara.
“Saya perhatikan dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.
“Namun masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama, tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing,” titah baginda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.