Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Penduduk negeri ini yang bercadang pulang ke kampung atau bercuti panjang pada musim perayaan Tahun Baharu Cina diingatkan memuat turun aplikasi ‘Volunteer Smartphone Parol’ (VSP) bagi memaklumkan pergerakan mereka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, aplikasi itu membantu pihaknya mengenal pasti kediaman tidak berpenghuni dan menjalankan rondaan cegah jenayah dengan lebih sistematik serta berkesan.
Beliau berkata, menerusi aplikasi itu, pemilik kediaman hanya perlu mengisi butiran seperti pada borang fizikal yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, kelebihan aplikasi berkenaan ialah orang ramai menghantar video, gambar dan butiran lokasi kepada pihak polis jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Berdasarkan statistik Januari hingga Disember 2022 seramai 1,037 pengguna VSP melaporkan pergerakan mereka yang keluar bercuti pada musim perayaan atau meninggalkan rumah bagi tempoh yang panjang.
“Mengikut kajian dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ada laporan kes pecah rumah membabitkan pemilik premis atau kediaman memaklumkan pergerakan mereka menggunakan VSP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina di Jonker Street, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dan Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman.
Turut hadir, Pengerusi Jonker Street Datuk Wira Gan Tian Loo.
Menurut Zainol, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Kontinjen Melaka akan meningkatkan rondaan sekitar kediaman tidak berpenghuni sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.
“Setakat malam tadi, Polis Daerah Melaka Tengah menerima sebanyak 150 borang balik kampung daripada pemilik premis dan kediaman,” katanya.