comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan lantik bekas KSU jadi Ketua Audit Negara – PAC

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media berhubung PAC di lobi Parlimen.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengisi segera jawatan Ketua Audit Negara yang dikosongkan sejak empat bulan lalu.

Pada masa sama Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap kerajaan dapat menghentikan amalan melantik bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian bagi mengisi jawatan itu.

Menurut Datuk Mas Ermieyati, individu yang dilantik perlu memiliki latar belakang dalam bidang perakaunan dan audit.

Pihaknya yakin ciri-ciri itu akan memberi nilai tambah pada Jabatan Audit Negara.

“Lantikan mantan KSU kementerian sebagai Ketua Audit Negara perlu dielakkan walaupun justifikasi pelantikan disebabkan mereka tahu mengenai selok-belok pentadbiran awam tetapi lebih baik Ketua Audit Negara mempunyai latar belakang profesional dalam bidang kewangan atau pengauditan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menyentuh mengenai kekosongan jawatan Ketua Audit Negara selepas Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid tamat kontrak pada Februari lalu, Datuk Mas Ermieyati berkata situasi itu menyebabkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak dapat dibentangkan.

Jelasnya, ia berikutan hanya Ketua Audit Negara boleh mengemukakan LKAN kepada Yang di-Pertuan Agong yang akan memperkenankan laporan berkenaan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, selaras Perkara 107(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Antara LKAN yang tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini ialah LKAN Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 dan LKAN Penyata Agensi Persekutuan 2021.

Disebabkan itu, ia dijangka dibawa ke Mesyuarat Ketiga pada Oktober depan.

Perkara ini akan turut membebankan Jabatan Audit Negara dan PAC kerana banyak laporan yang perlu diteliti dan disiasat,” katanya.

Loading...
Terkini