GEORGETOWN: Warga polis kontinjen Pulau Pinang dilarang keras mengunjungi pusat hiburan kecuali atas arahan kerja bagi menjaga integriti dan nama baik pasukan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ketua jabatan dan ketua polis daerah dikehendaki memantau dan memastikan semua pegawai dan anggota tidak terjebak dalam aktiviti itu.
“Pegawai yang mempunyai tugas dan mendapat kebenaran ketua jabatan sahaja dibenar ke pusat hiburan,” katanya.
Larangan itu adalah bagi memastikan pegawai dan anggota polis negeri berkenaan tidak terbabit dalam apa-apa salah laku yang sekali gus mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sejak kebelakangan ini, banyak media massa memaparkan berita terdapat pegawai polis dan anggota berkunjung ke pusat hiburan untuk berfoya-foya, melayan gadis pelayan pelanggan (GRO), pengambilan dadah serta minuman keras.
“Tindakan sebegini menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM sekali gus mencemar nama baik dan integriti pasukan dalam mewujudkan satu organisasi kompeten serta bebas rasuah, ” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Justeru, Kok Chin mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota supaya perkara berkenaan tidak berlaku di kontinjen Pulau Pinang.
Dalam pada itu, mengikut statistik Polis Pulau Pinang, sebanyak 91 kertas siasatan tatatertib dibuka sepanjang 2023 membabitkan 43 salah laku dan 23 jenayah.
Manakala 10 kertas siasatan lagi berkaitan dadah, tidak hadir tugas (tujuh) dan masing-masing empat bagi kesalahan syariah dan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia juga melibatkan seramai 125 pegawai dan anggota yang mana Pegawai Rendah Polis (118), Pegawai Kanan Polis (empat) dan tiga kakitangan awam.
Semua warga kontinjen Pulau Pinang juga dilarang terbabit dalam aktiviti mana-mana parti politik termasuk memberi pandangan berat sebelah atas sebarang isu membabitkan mana-mana parti.
“Ini kerana PDRM adalah sebuah organisasi kerajaan yang memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindung negara serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.