Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
CYBERJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna.
“Sebagai contoh, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.
“Selain itu, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah dan ketidakpuasan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Justeru, suruhanjaya terbabit menasihatkan orang ramai supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya.
Rabu lalu, dua pengarah syarikat masing-masing didenda sebanyak RM5,500 dan RM2,500 atas pertuduhan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas kedua-dua orang kena saman (OKS) mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
OKS pertama iaitu lelaki tempatan, 29, didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan enam unit alat suai tanpa wayar (wireless adapter) pelbagai jenama di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.
OKS kedua pula lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas satu pertuduhan di bawah peraturan sama kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, Kota Kinabalu pada tarikh yang sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.