KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong malam ini, Seri Paduka turut mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.
Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Titah baginda lagi, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam juga perlu dihormati, namun agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada, sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.
“Justeru, bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan sebaliknya bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik,” titah Seri Paduka sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang disiarkan melalui televisyen tempatan malam ini.
Ini tahun kelima Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meraikan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong bersama rakyat Malaysia.
Mahu amalan demokrasi di negara ini terus menjadi asas kestabilan dan keharmonian negara, Seri Paduka bertitah, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu dan proses pembentukan Kerajaan Persekutuan yang lancar, dalam suasana aman dan damai menjadi bukti bahawa amalan demokrasi sejak tujuh dekad lalu, masih kekal subur di negara ini.
“Beta berasa amat bersyukur kerana Hari Keputeraan rasmi beta pada tahun ini disambut dalam suasana landskap negara yang stabil dan sentosa.
“Beta ingin mengajak barisan kepemimpinan negara untuk terus berkhidmat setulus hati dan meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran negara yang cekap, mesra rakyat dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat beta dan negara bertuah ini,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong melihat Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju dan disegani kerana dilimpahi nikmat keamanan, kepelbagaian sumber dan modal insan berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi.
“Sebenarnya kekuatan utama negara ini adalah rakyatnya.
Baginda turut melahirkan penghargaan buat semua rakyat, merangkumi kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan negara.
Seri Paduka menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat atas ucapan tahniah dan doa dipersembahkan sempena Hari Keputeraan rasmi hari ini, yang menambah iltizam dan tekad baginda untuk terus memayungi rakyat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.
“Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur, sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT serta dijauhi daripada musibah dan bala bencana,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.