Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini memberitahu bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat, terus membidas tindakan siasatan oleh pihak berkuasa terhadap pimpinan kerajaan negeri Kedah, berhubung beberapa projek pembangunan.
Beliau mendakwa kena memberi keterangan kepada polis “tiap-tiap hari”, dengan yang terbaharu semalam, berkenaan dua kes.
“Saya tuan-tuan kena bagi keterangan kat polis tiap-tiap hari. Hari ini dua kes, sampai Maghrib,” katanya.
Bagaimanapun Sanusi tidak menghurai lanjut dua kes yang dimaksudkannya.
“Jangan ingat bila ditekan, kami akan berundur. Setiap ucapan saya diteliti dan dirakam. Silap, report (lapor), silap, report. Kenyataan politik mesti diselesaikan di medan politik,” katanya ketika berucap pada majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Kompleks PAS Kedah, di sini malam tadi.
Sanusi dalam pada itu mempersoalkan mengapa tiga skandal yang dakwanya dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa mentadbir negeri Kedah, tidak disiasat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Masa hangpa jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA telah mengalami kerugian RM36 juta dan mempunyai hutang RM149 juta.
”Semua tu aku bayar. Pasai apa yang tu hang tak nak siasat?”
“Sewaktu BN pula memerintah negeri ini, telah dibuat satu perjanjian dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Jerai Inetrnational Park. Perjanjian itu telah dilanggar, menyebabkan kerajaan negeri disaman RM50 juta. Setelah rundingan selama 30 tahun, tahun ini kerajaan negeri bayar RM21 juta. Kenapa tak siasat?”
Sanusi juga mendakwa, sejumlah RM13 juta wang Menteri Besar Incorporated (MBI) dipindahkan ke akaun di Kanada semasa pentadbiran kerajaan BN.