KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan peserta piket ‘Kepung Demi Palestin’ supaya tidak mendirikan sebarang struktur atau khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini, sepanjang enam hari perhimpunan itu berlangsung.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, piket itu tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan perhimpunan terbabit.
Menurutnya, jika terdapat peserta yang mendirikan khemah, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin namun kita juga bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.
“Kalau kita lihat ada kedutaan AS, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kedutaan Jepun dan juga beberapa perwakilan asing berhampiran kawasan ini dan ia menjadi tanggungjawab PDRM,” katanya kepada pemberita di lokasi piket terbabit malam tadi.
Katanya, perhimpunan itu juga tidak akan diarah bersurai jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kita sudah menggerakkan sejumlah anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan di lokasi himpunan itu dan setakat ini bilangan itu adalah mencukupi,” katanya.