KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua pihak agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini.
Katanya, Malaysia mengulangi bahawa objektif utamanya adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, bukannya memanjangkan lagi konflik.
“Sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin.”
“Matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.”
Tambah Mohamad, Malaysia menyahut seruan Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta.
“Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan
menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa,” katanya.
Iran melancarkan serangan ratusan dron dan peluru berpandu ke atas Israel semalam (13 April), sekali gus mencetuskan kemungkinan berlaku pertempuran yang lebih besar dengan Amerika Syarikat berikrar untuk menyokong Israel.
Tehran menjelaskan tindakannya itu berdasarkan konteks Artikel 51 Piagam PBB, susulan serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Syria, 1 April lalu.
Dan sekali pun menganggap tindakan mereka terhadap Israel sudah selesai, Tehran menegaskan sekiranya rejim Israel atau sekutunya ‘melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat.’
Tegas Mohamad, jika itu berlaku, ini akan terus menyebabkan serangan yang tidak berpenghujung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.