comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan buat kesimpulan, tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan mesyuarat jemaah menteri hari ini ada menyentuh mengenai keputusan Lembaga Pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun menurut Fahmi, perkara khusus mengenainya termasuk mengeluarkan kenyataan media akan diselaras oleh Lembaga Pengampunan.

Pada masa sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan meminta semua pihak termasuk pengamal media tempatan mahupun antarabangsa untuk menunggu kenyataan rasmi dan tidak membuat sebarang kesimpulan.

“Saya minta bantuan kepada semua rakan media, ‘let’s not jump the gun, let’s us wait for an official statement to be made and follow that due process’ (jangan buat kesimpulan, sama-sama kita tunggu kenyataan rasmi dan mengikut proses sewajarnya).”

“Kalau tak nanti menimbulkan pelbagai reaksi dan bagi saya, kita perlu menonjolkan profesionalisme dalam membuat pelaporan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau menjangkakan kenyataan media dari Lembaga Pengampunan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. – Gambar fail

Isu berkaitan pengampunan Najib berlegar di media sosial sejak semalam, dengan desas-desus kuat mendakwa nasib bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah pun diputuskan Lembaga Pengampunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu di Istana Negara kelmarin juga tidak menafikan atau mengiyakan maklumat yang tular.

Sebaliknya beliau ketika ditemui media sekadar memberi komen ringkas “Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan”.

Sementara itu, Fahmi turut menafikan beliau sebagai sumber kepada laporan sebuah agensi media asing.

“Malangnya saya berjumpa dengan wartawan CNA (Channel NewsAsia), bukan saya yang menjadi sumber kononnya menyampaikan maklumat itu,” katanya.

Terdahulu, CNA iaitu agensi media yang berpangkalan di Singapura yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan melaporkan, hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya kelmarin.

Mengikut laporan itu yang memetik tiga sumber berasingan dengan syarat kerahsiaan ketat, mesyuarat berkenaan turut bersetuju memberikan pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) yang dihadapi Najib kepada jumlah yang tidak ditentukan.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah dan adalah mesyuarat terakhir yang diketuai baginda mengakhiri tahta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini