comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jangan buang minyak masak terpakai, hantar ke pusat pengumpulan terpilih

KUCHING: Program pengumpulan minyak masak terpakai dianjurkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menyasarkan untuk mengumpul 90,000 kilogram (kg) minyak masak terpakai menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata usaha itu diyakini dicapai dengan penyertaan lebih 6,000 orang awam yang menyumbang minyak masak terpakai kepada pusat pengumpulan di stesen minyak PETRONAS terpilih.

Malah beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pengumpulan bagi memudahkan orang menjual minyak masak sebelum ia dihantar ke stesen minyak PETRONAS.

“Kaedah itu (pengumpulan oleh JKKK di rumah ibadat) memudahkan penduduk yang jauh dari stesen PETRONAS menjual minyak masak terpakai.

“Hasil jualan minyak itu RM2.50kg iaitu sama dengan harga minyak masak paket, bukan sahaja akan memberi faedah kepada penduduk malah turut boleh manfaatkan oleh JKKK untuk mengisi dana mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika berucap pada Trek Komoditi Sarawak, Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, ketika ini sebanyak 33 stesen minyak PETRONAS di Semenanjung menjadi pusat pengumpulan minyak masak terpakai selepas bermula dengan tiga stesen ketika program itu bermula 18 Julai lalu iaitu dua di Selangor dan satu di Putrajaya.

Program pengumpulan minyak masak terpakai iaitu salah satu agenda Ekonomi Kitaran Agrikomoditi bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan amalan kitar semula bagi menjaga alam sekitar serta membuka peluang untuk menjana pendapatan kepada isi rumah.

Selain itu, program berkenaan juga berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Program pengumpulan minyak masak terpakai juga adalah langkah proaktif PETRONAS sebagai persediaan untuk mengkomersilkan bio bahan api penerbangan yang lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) bagi memenuhi tuntutan skim Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA).

Loading...
Terkini