![](https://media.buletintv3.my/2023/02/c17tpjJv-CMS-PPZ-19.jpg)
IPOH: Orang ramai yang merancang bercuti ke Cameron Highlands diminta tidak bimbang dengan beberapa insiden tular, khususnya berkaitan bencana yang dikaitkan dengan kawasan tanah tinggi itu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, berkata pemantauan berkala sering dilakukan pihak berkuasa dengan mendapati tiada sebarang halangan pada mana-mana laluan yang menghala ke Cameron Highlands sama ada dari Tapah, Simpang Pulai, Sungai Koyan dan Gua Musang.
Beliau juga menafikan dakwaan tiada sebaran luas secara efektif dibuat bagi memaklumkan laluan untuk ke Cameron Highlands kembali selamat untuk dikunjungi selepas beberapa laluan itu sebelum ini dilaporkan ditutup akibat kejadian tanah runtuh.
“Sebelum ini pihak berwajib sudah mengeluarkan notis pemberitahuan (laluan kembali dibuka). Pemantauan berkala yang dilakukan mendapati tiada sebarang halangan pada mana-mana laluan yang menghala ke Cameron Highlands.
“Oleh itu, pengunjung dan pelancong sama ada dari luar dan dalam negara tidak perlu khuatir sekiranya mempunyai perancangan melancong ke Cameron Highlands. Rancang perjalanan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu mengenai isu tular peniaga makanan serta pasar malam di Cameron Highlands yang berdepan risiko gulung tikar.
Katanya, laporan akhbar itu dirujuk apabila sumber pemberitaannya mendakwa tiada sebaran luas secara efektif bagi memaklumkan laluan untuk ke Cameron Highlands kembali selamat untuk dikunjungi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.