Oleh: Izzatie Rizan
PETALING JAYA: Menempuh perjalanan yang lama termasuk kesesakan jalan raya, lumrah perantau balik kampung di musim perayaan.
Untuk itu, ada yang siap sedia membentangkan tilam ataupun toto di bahagian penumpang belakang terutama yang berkeluarga.
Tindakan dilakukan untuk keselesaan namun sebaliknya tanpa sedar mengundang bahaya mereka di dalamnya.
Ibarat kata pepatah, malang tidak berbau, itulah yang sering disebut-sebut.
Peringatan buat mereka yang biasanya dalam kenderaan perlu menempuh perjalanan yang memakan masa.
Jadi untuk selesa ada yang beranggapan perlu sediakan kelengkapan seperti di rumah.
Sehingga sanggup membeli tilam ubah suai atau toto, janji penumpang terutama yang mempunyai anak kecil menikmati perjalanan.
Menurut Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, (UPM), Profesor Dr. Law Teik Hua perbuatan berkenaan sering diguna pakai kenderaan jenis pelbagai guna (MPV), yang secara terang-terangan mengundang bahaya.
Jelasnya impak sekiranya berlaku kemalangan, penumpang boleh tercampak keluar daripada kenderaan dan sudah pasti bagi anak kecil kesannya lebih ketara.
“Penggunaan tilam di tempat duduk belakang kenderaan menjadi trend setiap kali musim perayaan.Saya faham ada sesetengah ibu-bapa kata itu untuk keselesaan anak-anak mereka,tetapi dalam nak memberi keselesaan fikir-fikirkanlah kesannya.
“Risiko kemalangan boleh berlaku bila bila masa sahaja sekaligus membahayakan anak-anak kita. Sudah pasti ibu bapa di bahagian hadapan mengenakan tali pinggang keledar tapi bagi penumpang di belakang sudah pasti ibarat menjemput bahaya kepada si kecil,”katanya kepada Buletin TV3.
Beliau berkata penggunaan tilam di bahagian tempat duduk belakang kenderaan turut menyalahi undang-undang.
Perbuatan itu juga katanya boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan pemakaian tali pinggang keledar termasuk Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.
“Fizikal kanak-kanak tulangnya lembut berbanding orang biasa. Untuk itu sebelum bertindak bentang toto atau tilam fikir dahulu, semua orang pun nak beraya. Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri kita kena pastikan semua orang boleh beraya,”katanya lagi.
Dalam pada itu orang ramai yang ditemui berpendapat itu bukan perkara baharu.
Seorang kakitangan awam, Mohd Hafiyzzul Afiq Daud berpandangan ibu bapa perlu bijak menentukan keselamatan bukan keselesaan semata-mata.
“Keselesaan itu boleh dicipta oleh ibu bapa itu sendiri. Perkara sebegini memang saya akan elakkan.
“Banyak cara nak beri keselesaan, macam saya kami akan pulang beraya ke Johor, jadi saya sudah sediakan aktiviti sepanjang perjalanan.
Contohnya dalam kereta saya ada monitor tv, jadi saya akan buka lagu atau filem kesukaan mereka mengelak rasa bosan,” katanya.
Pendapat sama turut disuarakan Syed Muhammad Khairi Syed Khaidzir yang beranggapan pematuhan undang-undang penting daripada akhirnya menyesal dikemudian hari.
“Macam mana baik pun kita bawa kenderaan jika takdir kata kemalangan…. ianya tetap boleh berlaku. Untuk itu kalau boleh elak kena elak benda-benda sebegini apatah lagi yang mengancam keselamatan anak-anak.
“Harap sangat penguatkuasa lebih tegas menangani isu ini…risau ramai pula bentang toto mahupun tilam ketika pulang ke kampung halaman,”ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.