SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru umat Islam yang berada dalam kesusahan terutamanya memerlukan bantuan makanan agar tampil kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dalam keterujaan menyambut Ramadhan, pastinya ada di kalangan rakyat di Selangor dalam kesusahan dan memerlukan bantuan, tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.
“Saya menyeru agar mereka ini tampil terus memohon bantuan terutamanya melalui LZS sama ada terus ke Cawangan LZS yang berhampiran atau melalui penolong amil kariah masing-masing.
“Ini kerana sudah pastinya tidak semua mereka yang memerlukan bantuan dapat ditemui oleh pihak LZS.
“Tampillah kepada kami, pastinya jika menepati kelayakan, umat Islam yang diuji dengan kesusahan ini akan dibantu sewajarnya terutamanya di saat umat Islam menyambut Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, Abdul Aziz berharap umat Islam khususnya di negeri Selangor agar menyambut Ramadan dengan penuh keberkatan dan menghidupkan Ramadan ini dengan amalan mulia.
Beliau turut mengingatkan semua umat Islam agar mengimarahkan masjid dengan sebaik mungkin.
“Menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan berpolitik..saya menegaskan dan mengingatkan kembali agar semua pihak mematuhi titah baginda.
“Masjid dan surau bukanlah medan berpolitik malahan peranan masjid dan surau hendaklah dihidupkan dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ibadah.
“Pengawasan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” katanya.
Beliau juga menyeru umat Islam di seluruh negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya agar mengambil peluang meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah swt di sepanjang bulan yang penuh barakah ini.
“Ambillah peluang menggandakan pahala di bulan Ramadan ini dengan menunaikan zakat, wakaf serta memperbanyakkan sedekah.
“Saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada umat semua umat Islam khususnya di negeri Selangor dan Malaysia juga kepada agensi dan anak syarikat MAIS serta seluruh warga kerja MAIS,” katanya.